Aku tertarik untuk merenungi kata-kata hikmah daripada al-imam Ibn Qayyim Al-Jauziyyah yang disampaikan oleh Dr.Maza (Mufti Negeri Perlis) menerusi penulisan beliau di dalam kitab Pengubat Duka, Penawar Sengsara. "Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan menghadap Allah. Padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan dengan perdampingan dengan Allah. Padanya terdapat dukacita yang tidak dapat ditinggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya. Padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan reda dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemu-Nya. Padanya kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingati-Nya dan keikhlasan yang benar kepada-Nya." (Madarij al-salikin, Ibn Qayim al-Jauziyyaj, jilid 4, ms 17. Cetakan Dar Ibn Hazm, Beirut).