Monolog #1 Rintik-rintik jernih

#1 Rintik-rintik jernih 
kitto




Lama aku menatap rintik-rintik jernih di luar jendela. Angin dingin yang kurasakan mencucuk-cucuk tulang di segenap tubuhku tidaklah menyakitkan. Terasa begitu sejuk meskipun hanya di negara khatulistiwa. Sungguh, mendamaikan. Ku lihat rintik-rintik jernih itu menghentam-hentam dedaunan hijau sebelum jatuh ke lantai bumi.  Seperti aku, si manusia lemah yang ditimpa ujian yang tidak sudah-sudah. 

Kau lihat, bukankah rintik jernih itu meninggalkan dedaunan dan datang rintik yang baharu?

Ada suara kecil bergema. Hatiku sedang berkata-kata. 

Aku lihat keluar. Mencari kebenaran kata-katanya.

Benar.

Tidakkah kau terlintas bahawa hadirnya ujian-ujian itu untuk menguatkan? 

Buktikan bicaramu. 

Aku masih menebarkan pandangan ke luar. Melihat laman yang semakin basah. Beberapa lopak air telah terbentuk. Kulihat langit masih mendung. Awan kelabu yang berat seperti mahu pecah merembeskan lagi air jatuh menimpa bumi. Laungan-laungan katak bergema. Mungkin merayu pada Sang Pencipta supaya teruskan merahmati mereka dengan nikmatnya hujan. Ah, aku ini lurus percaya yang katak itu si pemanggil hujan. Suara itu bergema lagi.

Ibaratkan dirimu seperti pokok. Walaupun tubuhnya ditimpa-timpa lebatnya rintik-rintik jernih itu, pohonnya masih utuh disitu. Biarpun angin kencang menggoncangnya, tubuhnya teguh disitu. Kau hanya melihat rintik jernih itu jatuh ke bumi. Namun, engkau terlepas untuk melihat betapa rintik jernih itu meresap ke lantai bumi menjadi sumber makananmu. Ujian itulah yang membuat engkau semakin kuat. Semakin jauh sumber air, semakin jauh akarmu menjalar. Nah, bukankah ujian itu menguatkan? 

Jeda. Aku yang bermonolog sendiri terus tersenyum. Benar. Benar sekali kata-katanya. Ujian itu memang menyakitkan. Tetapi jahilnya aku si manusia hina tidak melihat hikmah yang tersirat. Ujian itulah yang membentuk aku. Aku yang kuat. Aku yang matang. Terima kasih Tuhan. Terima kasih.

Tidaklah Tuhan itu menguji hambaNya melainkan selari dengan kemampuannya.

Monolog #1 


Comments

Popular posts from this blog

Wingless Angel

Glimpse of 2022

Monolog #14 - Samar - samar